Hari ini sehari suntuk aku mencari pengasuh untuk anak-anakku. Seboleh-bolehnya aku tak mahu libatkan adik-adikku yang bujang dalam hal ini. Hanya yang dah berkeluarga sahaja yang faham situasi aku sekarang ni. Telinga yang mendengar, tak sama dengan mata yang memandang. Apatah lagi bahu yang nak menggalas bebanan. Di saat ini, sudah tentu hati menjadi terlalu sensitif.
Ada sumber menyatakan bibik aku lari ikut seorang kawan lelaki. Aku jangka dia masih berada di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth. Biarlah dia nak lari ke mana-mana pun. Kalau nak balik indon pun, balik lah. Sekarang ni laut tengah bergelora, sendiri fikirlah. Aku masih mencari beg kecil berisi duit hasil jualan pelajar-pelajar katering. Beg dompet tersebut aku simpan dalam laci, sebelah meja tulis dalam bilik tidur kami. Seandainya masih tidak berjumpa, sahlah dia yang mengambilnya. Nasib baik ada sejumlah kecil sahaja, tak sampai RM30. Aku dah belanja beli barang-barang bengkel.
Hujan turun sepanjang hari. Suasana lembab, macam otak aku yang lembab ni. Selepas mengambil atikah dan nabilah balik dari kelas taekwando jam 10, aku terus membawa farhana ke klinik. Sampai di klinik, aku pakaikan semua anak-anak ku "mask". Hujan masih turun. Aiman tak boleh kena hujan sebab cengkeringnya masih belum sembuh. Terpaksa aku dukung dia hingga ke pintu klinik. Kemudian aku berpatah balik ke kereta menambil yang lain-lain secara bergilir-gilir. Walaupun cuaca tak elok, aku terpaksa bawa Farhana berjumpa doktor. Farhana batuk dan demam sedikit. Doktor minta aku datang lagi ke klinik sekiranya Hana demam kuat. Dalam hati aku berdoa, Ya Allah, sembuhkan lah anakku ini. Ringankanlah bebanan ku ketika ini.
Aku tak terus balik ke rumah tetapi ke rumah seorang kawan di Bukit Teh. Hari ini aku belajar buat putu mayom. Tepung beras yang elok ialah yang mempunyai gambar 3 ekor gajah. Tepung beras ni tak bercampur dengan tepung jagung. Rupa-rupanya nak buat putu mayom ni, kena bancuh dulu sesenduk tepung beras, dikoleh untuk dijadikan ibu. Kalau tak, tak menjadi. Sekampit besar tepung beras tadi, dimasukkan dulu ibu, kemudian baru dituang air panas mendidih ke dalamnya. Kacau hingga menjadi doh yang lembut. Selepas tu barulah ditekan dengan acuan di atas tutup periuk. Dikukus hingga masak. Senang je rupa-rupanya. Tapi petua membancuh, masuk sekali je air panas mendidih dan uli. Jangan masukkan dua kali, nanti tak menjadi. Haaah! Atleast release rasa tension seketika. Memang malas nak fikir masalah. (Aku kalau tension, kena masak. Baru lega) Aku tekan acuan putu mayom tu sambil ibaratkan ku tekan masalahku keluar dari kepala otakku. Nampaknya cara tu berhasil merawat kepala yang bengong ni.
Sebenarnya, dalam hari ni, aku busy jawab call dari jiran-jiran yang prihatin dengan masalahku. Ada yang siap tolong carikan pengasuh untuk anak-anakku. Alhamdulillah, ramai yang nak membantu. Akhirnya, sudah ditimbang-kati, ada 2 orang kakak nak tolong jaga Farhana dan Aiman. Nampaknya hari ni aku tak sempat nak jumpa dia orang. Mungkin esok baru boleh jumpa dan berbincang. Aku terpaksa scan dulu orang yang nak jaga budak-budak ni. Farhana dan Aiman tak macam budak-budak sebayanya yang lain. Dua-dua ni aktif +++. Doktor pakar kanak-kanak sendiri dah sahkan. Anak aku ni sentiasa bergerak, tak boleh duduk diam kecuali tidur. Ada sahaja benda yang dia orang nak buat. Jadi, aku mahu pengasuhnya faham keadaan anak-anakku ini. Nasib baik abahnya tak kerja esok, bolehlah bantu.
3 ulasan:
minggu ni belum mula hantar ke pengasuh lagi
Jangan dapat pengasuh cap ayam dah le..
dah dapat, tapi bersyarat, jumaat dan sabtu tak mau mengasuh. Seorang budak, Rm200 (7.00 pagi -3.00 ptg)
Catat Ulasan