Jumaat, 18 Disember 2009

Salam Maal Hijrah 1431


Kenangan terindah tahun 1430. Berkumpul adik-beradik, menghantar An di KLIA untuk terbang kembali ke bumi Anbia'. Semoga pulang cepat dengan membawa segulung ijazah dan ilmu yang bermanfaat untuk semua.

Salam Maal Hijrah 1431 kepada semua pengunjung blog ini. Banyak peristiwa suka-duka yang telah saya tempuhi sepanjang tahun hijrah 1430 yang lalu. Setiap yang berlaku adalah atas kehendakNya. Saya merasakan tahun 1430 hijrah adalah tahun saya menghadapi ujian kehidupan yang paling hebat setakat ini. Dan ganjaran yang saya terima juga agak hebat setakat ini. Diawal 1430H, saya telah melalui saat-saat getir dalam hidup saya. Namun syukur Alhamdulillah, di penghujung 1430H, saya merasa sedikit kemanisannya dan menjadikan saya insan yang tabah dan lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan ini. Setiap rintangan, saya jadikan suatu tekanan yang positif untuk saya mencapai kejayaan.

"Ya Allah!Ampunkanlah dosa-dosaku, dosa ibu bapaku dan dosa setiap ahli keluargaku. Panjangkan dan berkatilah umur kami, murahkan rezeki kami dan tetapkam iman kami. Juga ampunkan dosa semua orang Islam yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Ya Allah! Sihatkanlah tubuh badan kami, selamatkan kami dari fitnah di dunia dan di akhirat. Peliharalah kami dari siksaan api nerakamu. Amin"

Khamis, 17 Disember 2009

Salah sapa??



Bukan suatu yang pelik dan ganjil jika sekarang ini didapati terlalu ramai yang mengaku Islam tapi tak pernah solat. Itu namanya Islam sebab keturunan.

Bukan suatu yang pelik dan ganjil jika sekarang ini didapati anak-anak dara yang mengaku Islam, tanpa segan silu memakai seluar pendek dan t-shirt tanpa lengan di kampung-kampung sambil mengayuh basikal atau menunggang motor (kalau bawa kereta, tak nampak pulak dari luar). Katanya moden. Teringat pulak pada beruk arwah atuk Idris yang kerjanya petik buah kelapa. Ci ruk ni suka duduk atas palang basikal dengan seluar pendeknya.

Tulang rusuk yang bengkok

Kaum hawa adalah dari tulang rusuk kaum adam yang bengkok. Walaupun kaum hawa dari tulang rusuk yang bengkok dan lembut, tapi kena ingat...yang bengkok akan terus bengkok jika tidak diluruskan, yang lembut akan patah jika terlalu berkeras untuk meluruskannya. Tetapi kalau yang meluruskannya pun dah sedia bengkok, maka ia akan terus jadi bengkok.

Kadang-kala, yang bengkok itu lah yang tolong bagi petunjuk kepada yang lurus. Dan yang lurus bukan semuanya betul.

Selasa, 15 Disember 2009

Alam Mistik



Cerita 1:

Hari Khamis lepas (masa sibuk-sibuk pencuri mengamuk hari tu) saya ke sekolah mengemas bengkel katering bersama-sama 4 orang anak murid saya. 4 orang anak-anak saya juga saya bawa ke sekolah. Jadi, riuh-rendah suasana bengkel yang selalunya sunyi-sepi, dah la tu, berada di hujung kawasan sekolah pulak tu. Saya terpaksa membawa semua anak-anak ke sekolah sebab tak percaya dia orang ni duduk di rumah. Baru tinggal tak sampai 20 minit, Atikah dah mula memasak di dapur. Saya bimbang yang kecil Farhana mengacau atau Atikah sendiri kurang arif menguruskan dapur.

Saya bersama-sama anak murid saya mula membersihkan bilik air dan stor menyimpan barang. Bengkel kami ada 4 stor. Jadi, hari tersebut saya ajak mereka membersihkan stor 2 (bahan dan alatan memasak) dan stor 3 (peralatan menghidang). Anak-anak saya yang besar turut membantu. Sementara yang kecil, Aiman dan Farhana, saya suruh kira stok pelbagai saiz sudu dan garfu agar mereka leka tidak berlari-lari.

Ketika mereka mencuci dan mengemas stor, saya menyedia dan memasak hidangan tengahari. Saya bawa bahan memasak dari rumah memandangkan stok di bengkel memang dah di"clear"kan sebelum cuti. Tengahari tersebut, kami bagaikan picnic. Seronok makan beramai-ramai. Tiba-tiba, kerusi dalam stor 3 berbunyi seperti ditolak orang. Tiada angin, tiada kucing. Semua orang terkejut.

Aini (salah seorang murid saya) bertanya "Hah cikgu! Bunyi apa tu? Sapa tolak?"

"Aah, pakcik Mail Makmal tengah bersihkan makmal bawah tu.." jawab saya nak bagi sedapkan hati tetapi saya tahu memang datang dari dalam stor 3.

Masing-masing terdiam dan cepat-cepat makan. Selera saya dah terbantut ketika tu. JAm di tangan menunjukkan pukul 12.30 tghari. Kami cepat-cepat makan, cepat-cepat kemas barang-barang. Dan cepat-cepat balik ke rumah.

cerita 2:

Pada pagi hari Sabtu, Sham meminta saya mengurutkan belakangnya yang sakit. Saya mengurutnya macam yang diajar oleh mak dan arwah nenek. Selepas mengurutnya, saya rasa tak sedap badan. Sedangkan dia, dah tak sakit dan boleh pergi kerja. Bila dia pulang ke rumah untuk solat Zohor, saya masih lagi tak boleh nak bangun kerana merasa berat di belakang badan. Saya menelefon adik (Dijah) di KL.

"Kaklong sakit belakang ni. Berat dan sengal tapi tak sakit."

"Kaklong gi lah check kat klinik" jawab Dijah.

"Malas nak gi check sebab bukan saraf tunjang yang sakit. Rasa macam pikul kayu balak je ni. Nak demam ni..minta tolong ngan Rossi lah.."

"Haah, nanti kita cakap kat Rossi.."

Malam tu saya dah tak tahan menanggung berat kat belakang saya. Saya ajak suami berjumpa Ustaz Nasir. Saya dah faham sangat kalau sakit macam ni, bukan boleh ubat di klinik. Ustaz bacakan selawat tafrijiah, ayat 7, selawat shifa' dan bebarapa ayat lagi. Saya ada juga baca tapi kurang cantik pada bacaannya, sebab tu tak mujarab. Alhamdulillah, dengan izin Allah, rasa berat beransur kurang.

Entahlah..yang pasti, sakit saya hilang. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang kita tidak ketahui. Sesuatu itu tidak akan jadi jika tanpa izin dariNya. Yakin dengan Allah,Sentiasa ingatkan Allah. Syaitan akan sentiasa mencari tipu helah untuk menyesatkan manusia. dan Sebaik-baik jin sama seperti sejahat-jahat manusia.

Jumaat, 11 Disember 2009

Pencuri Buta Perut

Selasa
- jam 8 pagi : Jiran depan rumah, Ila kena ragut ketika hendak membuka pintu pagar. Tindakan pantas Ila berjaya menarik begtangannya daripada diragut. Beberapa buah kenderaan yang lalu ketika itu turut berhenti menyebabkan si peragut cabut lari tanpa hasil.

Rabu
- jam 9 pagi : Semasa menghantar anak-anak ke kelas mengaji, nampak pintu rumah Kak Timah (depan rumah kami) terbuka tapi tiada kereta. Dalam hati berkata "agaknya Kak Timah keluar sekejap."

- jam 3 petang: dapat call, Ila dimasukkan ke hospital kerana keguguran. Kesian Ila.

- jam 10 malam: Pintu rumah Kak Timah masih tidak bertutup. Saya dah tak sedap hati,lantas menelefon tuan rumah. Rupa-rupanya KAk Timah berada di Penang menjaga ibunya tingga seorang sejak hari Ahad lepas. Selepas Sham memanjat pagar dan memeriksa rumah Kak Timah, didapati pintu belakang juga terbuka. Apabila dia masuk ke dalam rumah, didapati seluruh rumah telah digeledah. Saya terus memaklumkan kepada Kak Timah dan melaporkan kepada polis.

Polis yang membuat pemeriksaan ketika itu, memberitahu, pagi semalam, berlaku kes ragut pecah tingkap kereta dan mengambil laptop serta begtangan dari dalam kereta, berlaku di taman perumahan berdekatan dengan taman perumahan kami. Mungkin dilakukan oleh individu yang sama meragut Ila.

Khamis

-jam 10.30 pagi: Kereta tetamu Ila yang diletakkan diluar pagar rumahnya, dipecahkan oleh peragut. Peragut tidak sempat mengambil apa-apa kerana suami Ila menjerkah peragut tersebut.

Jumaat

- jam 8.10 pagi: Sham bising-bising kasut kerjanya tiada. Saya keluar tolong mencari. Sah! Kasut saya juga hilang dari tempatnya. Kasut kerja Sham "Camel" baru dibeli 6 bulan lepas kerana menggantikan kasutnya yang diambil orang (sama kes). Pagi ni, selain kasut suami,kasut "Camel Active" hitam saya yang dah lasam pun dikebasnya juga. Kasut sekolah anak-anak juga kena kebas. Apalah punya pencuri. Saya sayang kasut hitam tu kerana sedap pakai bila memandu. Dah lebih 2 tahun saya pakai dan tak pernah polish! Hah! Amik le ko pencuri. Jika kami ada penyakit, tinggal dalam kasut tu..biar ikut sekali pencuri tu. Alhamdulillah! Padan muka dengan korang. Kami halalkan.

Saya syak kejadian ni berlaku pada malam semalam antara jam 8.30 - 10.00 malam ketika kami semua tiada di rumah. Saya menghantar anak-anak ke kelas tae kwan do dan suami saya ke surau. (Saya menunggu di kelas tersebut hingga kelas tamat kerana malam tu, Aiman baru mula masuk belajar). Ini kerana wang dan handphone yang tertinggal dalam kereta Myvi tak hilang. Kereta tu satu malam tak berkunci dan sebelum tu, suami membawa kereta ni ke surau.(biasa lah abah dia ni, dermawan tak kira tempat. Dengan pencuri pun dia offer barang)

Selepas menghantar anak-anak ke kelas mengaji, saya ke balai polis buat report. Kalau setakat hilang sepasang kasut, tak le teringin nak buat report tapi sampai 5 pasang yang hilang dan berturut-turut setiap hari penjenayah datang ke kawasan rumah kami. Ini dah melampau!!!

Nampaknya, bantuan kewangan tambahan RM500 hujung tahun ni kena shopping kasut kerja dan kasut sekolah anak-anak ...

Isnin, 7 Disember 2009

Hari ini Ekonomi Asas (1) & (2)

Hari saya bertugas sebagai guru bertugas SPM. Hari ini kertas Ekonomi Asas. Kecut perut juga saya sebab ini mata pelajaran yang saya ajar. Ye! Saya sorang tokehnya. Student seramai 102 orang tapi 5 orang tidak pernah wujud. 3 orang macam biskut, sekejap ada sekejap tiada. Walaupun saya diberi kelas yang hampir hujung, saya tetap berpegang kepada kata-kata bidalan "sedangkan belakang parang kalau diasah, kan tajam jua..". saya tak patah semangat. Saya tetap membuat kelas tuisyen (tanpa bayaran) kepada student dari awal tahun hingga semalam (last). Fotostat? Entahlah berapa ringgit agaknya dah dibelanjakan..tak kira pun.

Jam 7.35 pagi, saya telah mengumpulkan student-student saya di tapak perhimpunan. Mungkin pecah rekod hari ini kut, cikgu sendiri yang baca doa untuk periksa. Dah disuruh-suruh, tapi takda yang mau ke depan. Itulah student saya, malu tak bertempat. Sebelum melepaskan mereka masuk ke dewan peperiksaan, saya memeriksa kut-kut ada student yang demam, tak bawa kad pengenalan dan slip peperiksaan. Ada juga rupa-rupanya yang tak bawa kalkulator pada hari ini. Saya juga berpesan, kalau tak tau jawab objektif, tenyeh juga bagi ada jawapan. Jangan tinggalkan kosong. Bagi kertas 2, tolong jangan tinggalkan dewan. Tunggu hingga habis masa, baru keluar...itulah pesanan seorang guru yang penuh mengharap..

"Sesapa yang dapat gred lebih baik daripada trial, cikgu akan buat kenduri!!"

Sabtu, 5 Disember 2009

Ayah Kemalangan Lagi

Malam semalam saya mendapat panggilan telefon dari adik di Kulai. Ayah kemalangan lagi. Dah dihantar ke Hospital Batu Pahat oleh mak dengan menaiki teksi. Waktu tu saya dan keluarga baru sahaja sampai dari Perlis, menghadiri kenduri atuk saudara di sebelah suami. Saya segera menelefon mak bertanyakan khabar yang sebenar. Katanya ayah hendak ke surau. Dalam perjalanan ke surau, ayah dilanggar dari belakang oleh seorang remaja perempuan. Remaja perempuan tersebut terus cabut lari sedangkan ayah tertiarap di atas tanah dengan luka di kening, melecet di lutut dan tangan. Darah dari luka meleleh turun membasahi baju ayah.

Ada 2 orang India telah membantu membawa ayah ke klinik kerajaan tapi tutup, jadi ayah dihantar balik ke rumah. Dalam keadaan kelam malam, ayah tak dapat cam nombor pendaftaran motor yang melanggar ayah dan tak sempat juga bertanya butir diri orang yang membantunya. Ayah dibawa ke Hospital Batu Pahat dan alhamdulillah, tak ada apa-apa yang serius cuma luka dikeningnya terpaksa dijahit. Pak lang telah membawa ayah balik ke rumah.

Dua hari sebelum Hari Raya Aidil Adha yang lepas, semasa di rumah adik (Siti Khadijah) di Seri Kembangan, kami memujuk mak supaya balik ke Air Hitam. Ayah dah lanjut usia. Walaupun ayah yang berkeras suruh mak ke KL temankan adik di Ampang tapi kami lebih bimbangkan ayah. Uda bawa juga mak balik ke Air Hitam pada hari tersebut. Mungkin Allah nak tunjuk, ada hikmahnya mak balik ke Air Hitam. Andai kata kalau mak tak balik lagi?? Ngeri kalau diingatkan. Sungguhpun pak lang, cik yah dan mak wok ada di Air Hitam, tak sama dengan isteri dan anak-anak sendiri. Apa-apa pun memang kami mengharapkan pada adik di Kulai (Hanif) untuk tengok-tengokkan ayah dan mak.

Saat ini kami teringat pantun dulu-dulu:

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Tinggallah emak, tinggallah saudara,
Kerana kekasih, hamba turutkan.

Masing-masing dah jauh samada belajar, bekerja atau mengikut suami/isteri. Dalam kes adik-adik yang lain, jauh dari ayah dan mak sebab belajar dan bekerja tapi kes saya sebab mengikut suami nun jauh di utara ni. Walau apa pun kami tetap berhubung antara satu sama lain. Mungkin faktor jarak, mak tak mau up date cerita terkini kepada kami. Saja mak nak sedapkan hati masing-masing, tak minta kami balik sebab ayah tak apa-apa. Walau apa pun, kami tetap tunggu cerita terkini yang sentiasa up date dari adik di Kulai.

Saya sebagai anak yang sulung dan wakil dari adik-adik yang lain,ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang telah membantu ayah dan mak saya, Haji Hamsan dan Puan Rahilah ketika mereka menghadapi kesulitan baru-baru ini. Semoga Allah memberikan ganjaran kepada semua di dunia dan akhirat. Amin.